SULTAN Sharafuddin bersama Tengku Permaisuri Norashikin kini sedang mengerjakan ibadah haji. FOTO ihsan Selangor Royal Office
SULTAN Sharafuddin bersama Tengku Permaisuri Norashikin kini sedang mengerjakan ibadah haji. FOTO ihsan Selangor Royal Office
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sempena Aidiladha tahun ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru agar seluruh umat Islam bersama-sama membantu golongan miskin dan daif.

"Di hari mulia ini, baginda berkenan mengingatkan bahawa Aidiladha mengajar kita agar mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah swt dan sanggup berkorban untuk membantu yang miskin serta menginsafi nasib golongan yang lebih daif.

"Baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin kini sedang menyempurnakan ibadah rukun Islam yang kelima di Tanah Suci Mekah Al-Mukarramah.

"Baginda juga menyeru umat Islam agar bersama-sama menyempurnakan tugas dan tanggungjawab sebagai orang Islam yang patuh kepada ajaran Allah SWT dengan merapatkan ukhwah dan mempererat hubungan silaturahim," demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Selangor Royal Office.

Pada masa sama, baginda turut berdoa agar jemaah haji Malaysia di Tanah Suci dapat melakukan ibadah mereka dengan sempurna dan dikurniakan Haji yang mabrur seterusnya kembali ke tanah air dengan selamat.

"Baginda juga berharap, semoga pengalaman mengerjakan ibadah haji dapat dimanfaatkan agar menjadi insan yang lebih tawadduk serta mampu memperkukuh dan meningkatkan tahap keimanan dalam diri.

"Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha 1444 Hijrah kepada seluruh umat Islam di Selangor," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 11:15 AM