X
KEADAAN Toyota Avanza dinaiki tiga warga Myanmar yang merempuh belakang lori di Kilometer 310.5, Lebuhraya PLUS arah selatan. FOTO ihsan bomba
KEADAAN Toyota Avanza dinaiki tiga warga Myanmar yang merempuh belakang lori di Kilometer 310.5, Lebuhraya PLUS arah selatan. FOTO ihsan bomba
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my


Gopeng: Seorang warga Myanmar maut manakala dua rakan senegaranya parah apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 310.5, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dikejarkan ke lokasi sebaik panggilan kecemasan diterima jam 6.01 pagi.

Katanya, mangsa yang maut adalah penumpang tempat duduk hadapan manakala mangsa yang parah masing-masing adalah pemandu dan penumpang tempat duduk belakang Toyota Avanza.

"Bomba menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian hadapan kenderaan terbabit.

"Mangsa yang maut diserahkan kepada polis manakala dua lagi yang parah diberi perawatan awal sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi diketuai Nor Zamri A Wahab itu berakhir jam 8.04 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 1:23 PM