GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Asrol Awang

Pekan: Remaja lelaki dikompaun RM3,000 kerana didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) apabila melompat keluar kawat berduri di Taman Mentiga Jaya, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, berdasarkan laporan, perbuatan remaja berusia 18 tahun terbabit dikesan pasukan Pemantau Team Alpha Covid 19 pada 9.40 malam.

Katanya, remaja terbabit dikompuan kerana ingkar arahan keluar dan masuk ke kawasan PKPD tanpa kebenaran polis apabila melompat keluar halangan dan kawat berduri yang dipasang di Taman Mentiga Jaya menuju ke kawasan perumahan Dato Shahbandar, di sini.

"Remaja itu dikompaun RM3,000 kerana melanggar PKPD mengikut Peraturan 6 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Pemulihan)(No 3) 2021," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua penduduk yang berada di kawasan PKPD diminta sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid 19.

Berkuat kuasa 9 April hingga 22 April ini, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPD di lima taman perumahan dan perkampungan di daerah itu.

Lima kawasan itu membabitkan Taman Mentiga Jaya, Taman Perdana, Perkampungan Peramu Jaya 3, Taman Sepekan Makmur dan Kampung Pulau Serai.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 1:47 PM