ANGGOTA JBPM Pulau Pinang membantu mengangkat mayat wanita berusia 36 tahun di lokasi kejadian. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA JBPM Pulau Pinang membantu mengangkat mayat wanita berusia 36 tahun di lokasi kejadian. FOTO Ihsan JBPM
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Wanita berusia 36 tahun ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat 18 sebuah kondominium di Jalan Bukit Kukus, Ayer Itam di sini, tengah malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.43 tengah malam.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong ke lokasi sejurus menerima panggilan.

"Wanita terbabit dipercayai terjatuh dari tingkat 18 bangunan itu sebelum terdampar di atas bumbung bilik panel suis milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Anggota bomba menggunakan tangga daripada jentera bagi menurunkan mangsa," katanya lagi.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tujuan bedah siasat dan operasi tamat pada jam 2.27 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 8:49 AM