ANGGOTA bomba ketika membantu menyelamatkan seorang lelaki yang terjatuh dari tingkat satu sebuah pangsapuri ketika melakukan kerja pembaikan lif di Jalan Bukit Jambul. FOTO ihsan BOMBA
ANGGOTA bomba ketika membantu menyelamatkan seorang lelaki yang terjatuh dari tingkat satu sebuah pangsapuri ketika melakukan kerja pembaikan lif di Jalan Bukit Jambul. FOTO ihsan BOMBA
Zuhainy Zulkiffli


SEORANG lelaki cedera di bahagian kepala selepas terjatuh dari tingkat satu ketika menyelenggara lif di sebuah pangsapuri di Jalan Bukit Jambul, di Bayan Lepas, hari ini.

Lelaki berusia 25 tahun dari Ayer Itam itu kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 4.34 petang tadi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak kemudian bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan.

"Sampai di tempat kejadian, didapati mangsa yang juga pekerja penyelenggara lif bangunan itu terjatuh dari tingkat satu semasa kerja pembaikan.

"Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan masih dalam keadaan sedar ketika ditemui, " katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Mangsa diselamatkan dengan menggunakan tali dan diberi rawatan awal sebelum dibawa ke hospital oleh ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 9:26 PM