AWANG Tengah mengakui kesilapan buka pelitup muka ketika lawat gerai. FOTO tular
AWANG Tengah mengakui kesilapan buka pelitup muka ketika lawat gerai. FOTO tular
Mohd Roji Kawi


Kuching : Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengakui kesilapannya membuka pelitup muka ketika mengunjungi gerai dalam lawatannya ke Matu dalam Bahagian Mukah, 31 Mac lalu.

Awang Tengah berkata, ketika mengunjungi gerai itu untuk membeli makanan dan minuman, beliau tergesa-gesa kerana dimaklumkan oleh pegawainya yang mereka perlu segera bergerak balik ke Kuching.

"Sebelum itu (sebelum video dirakam), saya membeli kuih serta minuman yang dijual dan saya membuka pelitup muka untuk minum, sebelum terus mengunjungi semua gerai.

"Pada masa yang sama, ketika sedang melewati gerai-gerai itu, pegawai saya memberitahu, kapten (juruterbang helikopter) berpesan agar kami tidak terlalu lama di sana (gerai) kerana perlu bergerak segera (terbang balik ke Kuching)," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Khas Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu apabila video berdurasi 25 saat menunjukkan beliau tidak memakai pelitup muka sedang berjalan di gerai menjual makanan dan minuman.

Susulan tersebarnya video berkenaan, Awang Tengah berkata, semalam beliau dihubungi pegawai polis yang memaklumkan beliau dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam.

"Ya, saya mengakui kesilapan itu dan menjelaskan kepada pegawai polis terbabit yang saya memang tidak perasan (tidak memakai semula pelitup muka) sebab ketika itu memang tergesa-gesa selepas diberitahu oleh pegawai saya yang kami perlu bergerak segera. Saya akan membayar kompaun itu," katanya.

Mengulas tindakannya menghulurkan RM50 kepada setiap peniaga gerai, Awang Tengah berkata, beliau melakukannya kerana membeli makanan dan minuman yang dijual dalam keadaan tergesa-gesa.

"Saya menghulurkan wang kepada pemilik gerai dan meminta mereka membungkus apa-apa yang mereka jual dan pegawai saya kemudiannya akan mengambil barang berkenaan.

"Gerai-gerai itu biasanya hanya dibuka pada hujung minggu, tetapi apabila saya mengadakan lawatan pada Rabu, mereka turut membuka gerai dan sebagai sokongan terhadap usaha mereka berniaga, saya menghulurkan wang untuk membeli barang tanpa sempat memilih apa yang hendak dibeli," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 12:49 PM