Laporan Harian Metro
Laporan Harian Metro
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Polis mengeluarkan kompaun kepada penternak lembu yang tidak memakai pelitup muka ketika berada di depan rumahnya di Kampung Pasir Tok Kambing di sini, semalam, kerana lelaki itu bercakap dengan individu lain yang turut melakukan kesalahan sama.

Kejadian jam 11.20 pagi itu, lelaki berkenaan, Nik Azman Nik Lah, 56, dikompaun RM1,500 ketika sedang memberi makanan dan minuman kepada lembu dalam jarak 10 meter dari rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, jika penternak berkenaan berseorangan di lokasi, pihak polis akan menggunakan budi bicara dengan memberi nasihat.

Katanya, ketika tiba di lokasi, sepasukan polis melihat penternak itu sedang bercakap dengan individu lain yang menaiki motosikal di tepi jalan yang menjadi laluan utama penduduk kampung.

"Polis membuat pemerhatian dan mempunyai bukti gambar bahawa mereka sedang bercakap tanpa memakai pelitup muka sebelum mendekati, namun lelaki bermotosikal sempat melarikan diri.

"Pihak kita menyoal penternak itu yang mengakui bercakap dengan seorang lelaki tanpa memakai pelitup muka sebelum mengeluarkan kompaun," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, operasi itu hasil maklumat orang awam yang mengadu terdapat ramai penduduk kampung yang tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutama tidak memakai pelitup muka walaupun berada di lokasi terbuka.

Beliau berkata, penternak itu boleh membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu dalam tempoh 14 hari untuk pengurangan kompaun.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberi pengurangan yang banyak jika membuat rayuan dalam tempoh ditetapkan.

"Kita menasihatkan orang ramai supaya mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan walaupun mahu bergerak dalam jarak dekat bagi membendung penularan Covid-19," katanya.

Media semalam melaporkan seorang penternak lembu terkejut selepas dikompaun RM1,500 atas kesalahan tidak memakai pelitup muka ketika sedang memberi makanan kepada lembu di hadapan rumahnya di Kampung Pasir Tok Kambing, di sini, jam 11.20 pagi.

Berita berkaitan

Tak pakai pelitup muka, penternak lembu dikompaun RM1,500

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 12:50 PM