Orang ramai memakai pelitup muka ketika tinjauan di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Orang ramai memakai pelitup muka ketika tinjauan di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Murnaena Muhammad Nasir


MASIH berbaki sehari lagi sebelum arahan wajib memakai pelitup muka namun orang ramai dilihat sudah mematuhi arahan itu ketika tinjauan wartawan di sekitar pusat tumpuan orang ramai di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Tinjauan mendapati pusat tumpuan di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur dipenuhi orang ramai pelbagai kaum serta warga asing sempena hari cuti sambutan Aidiladha, hari ini.

Pelbagai aktiviti dilakukan antaranya mengambil gambar, membeli-belah, melepak dan menjamu selera di premis makanan.

Orang ramai dilihat memakai pelitup muka sama ada berada di luar mahupun di dalam pusat beli-belah berkenaan.

Selain itu, pengguna pengangkutan awam seperti bas dan tren Transit Aliran Massa (MRT) juga dilihat memakai pelitup muka semasa menggunakan perkhidmatan itu.

Bagi suri rumah Adzlina Zura Adam, 40, berkata, hari cuti dimanfaatkan dengan membeli-belah dan bersiar-siar di pusat beli-belah, di Kuala Lumpur, memandangkan dia tidak pulang ke kampung.

"Saya dan keluarga memilih untuk beraya di Kuala Lumpur dan tidak balik kampung di Johor kerana enggan menjadi pembawa virus Covid-19.

"Di kampung sudah ramai ahli keluarga dan saudara jadi saya fikir tidak perlulah untuk menambah jumlah kunjungan dalam satu rumah," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, dia menyambut baik arahan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan tumpuan bagi menyekat penularan Covid-19.

"Saya juga sentiasa membekalkan ketiga-tiga anak saya yang masih bersekolah dengan pelitup muka, tisu basah dan cecair sanitasi tangan.

"Kita perlu berhati-hati dan pakailah pelitup muka kerana kita tidak tahu virus ada di mana," katanya.

Sementara itu, penolong pegawai perubatan, Zulhilmi Mohd, 31, berkata, arahan wajib pemakaian pelitup muka dan denda RM1,000 yang dikenakan kepada sesiapa yang gagal mematuhi arahan itu adalah relevan dan setimpal.

"Kini kes Covid-19 semakin meningkat, kita tidak mahu ia mencapai tiga angka sehingga mengakibatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula.

"Ramai yang menderita disebabkan PKP terutamanya peniaga yang tidak dapat menjana pendapatan," katanya.

Zulhilmi yang juga petugas barisan hadapan berkata, semua masyarakat yang berada di Malaysia perlu sama-sama bertanggungjawab membantu negara bagi memerangi Covid-19.

"Cuti saya dibekukan, saya tidak pulang ke kampung pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha kerana diarah bertugas.

"Saya harap dengan adanya arahan ini tiada lagi masyarakat berdegil dan mengambil isu Covid-19 lebih serius," katanya yang berasal dari Kuantan, Pahang.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan mulai 1 Ogos, pelitup muka wajib dipakai dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak atau tumpuan umum.

Kegagalan mematuhi peraturan baharu ini boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 4:10 PM