GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


KESEDARAN masyarakat memakai pelitup muka di kawasan awam di Johor Bahru masih rendah walaupun menyedari risiko penularan wabak Covid-19 masih ada.

Tinjauan di kawasan sekitar bandar Johor Bahru termasuk pusat bandar di Jalan Dhoby dan Jalan Wong Ah Fook mendapati masih ramai yang sudah tidak menggunakan pelitup muka di kawasan awam, meskipun laporan jangkitan Covid-19 meningkat mendadak kebelakangan ini.

Orang ramai dilihat semakin melupakan pelitup muka terutama ketika berkunjung ke restoran atau kedai makan, kedai runcit dan serbaneka mahupun di stesen minyak atau sekadar bersiar-siar bersama keluarga mereka.

Apatah lagi beberapa premis perniagaan di Johor Bahru juga tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka buat masa ini dan hanya akan berbuat demikian mulai 1 Ogos nanti.

Bagaimanapun, masih ada golongan yang terus setia memakai pelitup muka di kawasan awam dan dilihat hanya menanggalkannya ketika mahu minum dan menjamu selera makanan dipesan.

Pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Lily, 36, berkata, orang ramai termasuk dirinya menyedari bahawa pemakaian pelitup muka mampu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 terutama apabila berada di kawasan awam.

"Saya bukan tidak mahu pakai tetapi bila lihat ramai yang tidak lagi memakai pelitup muka, ia menjadikan saya pun jadi lupa dan leka.

"Apatah lagi ketika pergi makan di kedai makan nanti terpaksa dibuka juga. Jadi bagi mengelakkan pelitup muka menjadi kotor dan terbazir begitu sahaja, lebih baik simpan di dalam kereta sahaja," katanya.

Khamis lalu, media melaporkan mulai 1 Ogos ini, pelitup muka wajib dipakai dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak atau tumpuan umum.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, langkah itu diambil berikutan penambahan kluster-kluster jangkitan Covid-19 baharu yang dikenal pasti, selain atas nasihat Kementerian Kesihatan.

Orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.

Sementara itu, peniaga yang mahu dikenali Azman Noor, 29, berkata, orang ramai hanya akan menitik beratkan pemakaian pelitup muka jika satu-satu kawasan diisytiharkan sebagai zon tidak selamat terutama zon kuning atau merah.

"Ketika ini semua orang termasuk saya berasa selesa tidak memakai pelitup muka kerana kawasan bandar raya diisytiharkan kawasan hijau malah pihak berkuasa pun tidak ambil tindakan kecuali pada 1 Ogos nanti.

"Namun jika mengunjungi pasar dan pasar raya masih perlu memakai pelitup muka berikutan ia terus dikawal rapi kakitangan dan pihak berkuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 3:49 PM