AHLI Parlimen Bukit Mertajam,  Steven Sim Chee Keong bertemu dengan Rosliza  Hassan yang hilang tempat berteduh selepas diminta keluar dari rumah sewanya.
AHLI Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong bertemu dengan Rosliza Hassan yang hilang tempat berteduh selepas diminta keluar dari rumah sewanya.
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Zakat Pulau Pinang (ZPP) akan mempertimbangkan bantuan tambahan lain buat 11 beranak yang kisah mereka tular selepas diminta keluar dari rumah sewa yang didiami, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berkata, pihaknya sudah menyalurkan bantuan kewangan dan makanan berjumlah RM700 sebulan kepada keluarga itu sejak 2011 hingga kini.

Katanya, ZPP juga mengemas kini kadar jumlah bantuan yang diberikan supaya ia mengikut kesesuaian semasa.

"Selain itu, bagi membantu anak-anaknya mendapat pendidikan yang baik dan tidak tercicir persekolahan, setiap tahun ZPP menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan kepadanya.

"Bagi menyambut Ramadan pula, ZPP juga menyediakan bantuan khas Nur Ramadan berupa wang tunai dan hamper makanan kepada asnaf layak dengan keluarga ini tidak terkecuali untuk menerimanya pada setiap tahun," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan, seorang ibu tunggal, Rosliza Hassan, 37 diminta berpindah dari rumah sewa mereka selepas ketidakmampuan membayar sewa.

Susulan itu Rosliza dan 10 anak berusia tiga hingga 21 tahun terpaksa merempat di luar rumah lama mereka dan insiden disedari jurugambar bebas, Keow Wee Loong, 33, yang membantu dan mengambil gambar anak beranak itu sebelum memuat naik di media sosial.

Kisah itu menarik perhatian Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim yang memberi jaminan keluarga itu akan memperoleh rumah sewa baharu.

Dalam pada itu, Amran berkata, pihaknya turut dimaklumkan Rosliza alami gangguan emosi selepas kisahnya mendapat tumpuan masyarakat.

"ZPP akan memberikan ruang masa secukupnya kepada wanita itu dan akan mempertimbangkan tambahan bantuan lain pula selepas ini," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata, pihaknya juga akan melihat keperluan dan bantuan sewajarnya yang boleh diberikan kepada keluarga terbabit.

"Buat masa ini kita tidak dapat lagi bertemu dengan wanita itu dan sebaik berjumpa, kita akan melihat bentuk bantuan yang boleh diberikan terutamanya untuk anak-anaknya yang masih kecil," katanya.

Untuk rekod, bantuan yang disediakan JKM untuk kanak-kanak bagi enam tahun ke bawah sebanyak RM200, manakala bagi umur 15 hingga 18 tahun sebanyak RM150.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 5:44 PM