PERKONGSIAN Keow mengenai kesusahan Rosliza di IG. (Gambar kanan) Steven bertemu dengan Rosliza  yang hilang tempat berteduh. FOTO ihsan Kkeow Wee Loong
PERKONGSIAN Keow mengenai kesusahan Rosliza di IG. (Gambar kanan) Steven bertemu dengan Rosliza yang hilang tempat berteduh. FOTO ihsan Kkeow Wee Loong
Redzuan Muharam


Bukit Mertajam: Rosliza Hassan, 37, tidak pernah menyangka air mata kesedihan memikirkan nasib 10 anaknya selepas diminta berpindah dari rumah sewa bertukar kesyukuran hasil perkongsian gambar di Instagram (IG) oleh pemuda tidak dikenalinya.

Semuanya bermula apabila jurugambar bebas Keow Wee Loong, 33, terserempak dengan Rosliza kira-kira jam 7 pagi tadi ketika dalam perjalanan ke kedai makan.

Mereka saling tidak mengenali namun perkongsian gambar wanita itu yang kelihatan buntu bersama longgokan barangan di luar rumah seperti tilam, peti ais dan perabot menarik perhatian ramai.

Tidak sampai beberapa jam selepas diminta keluar dari rumah sewa, Rosliza dan 10 anaknya kini sudah memasuki kediaman baru di Taman Machang Bubok, di sini, hasil bantuan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Rosliza berkata, dia bukan dihalau tetapi diminta keluar dari rumah sewa kerana pemilik sudah menjualnya kepada pembeli baru.

"Saya tiada pilihan melainkan berpindah dan mencari penempatan lain. Tapi dengan pendapatan bulanan sebanyak RM700 sebagai pembantu kedai makan berhampiran rumah, ia tidak mencukupi untuk mencari kediaman baru.

"Saya menerima bantuan bulanan sebanyak RM500 daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) sejak 2011 dan wang itu yang digunakan untuk membayar sewa rumah.

"Apabila diminta keluar dari rumah sewa, saya jadi buntu kerana tiada simpanan untuk membayar wang pendahuluan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, meskipun anak sulung dan kedua yang berusia 21 serta 20 tahun turut bekerja sebagai pembantu di kedai makan namun pendapatan mereka juga tidak seberapa.

"Jadi bagaimana kami mahu berpindah ke rumah baru. Mujurlah ada Keow dan terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat (YB) Steven kerana prihatin dan membantu kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu, Keow berkata, dia terserempak dengan Rosliza secara kebetulan ketika dalam perjalanan untuk bersarapan.

"Saya tergerak untuk membantu lebih-lebih lagi apabila melihat anaknya yang masih kecil.

"Lebih menyedihkan apabila lihat peti aisnya yang hanya ada makanan sudah tamat tarikh luput malah Kak Ros beritahu dia hanya mampu memberi anak makan nasi berlauk bawang dan kuah kari.

"Saya kongsikan kisah itu di IG dan gembira apabila ia mendapat perhatian segera YB Steven yang datang sendiri melihat keadaan Kak Ros," katanya.

Keow berkata, dia cuba berunding dengan pemilik rumah untuk memberi lagi tempoh Rosliza dan anaknya tinggal di rumah berkenaan.

"Namun, panggilan tidak dijawab dan disebabkan kasihan dengan anaknya, saya cuba dapatkan penempatan lain.

"Usaha itu berhasil dan Kak Ros bersama anaknya sudah berpindah masuk ke rumah baru di Taman Machang Bubok iaitu tidak jauh dari rumah sewa lamanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 8:16 PM