Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: "Memang lega betul rasa bila dapat masuk belajar semula di sekolah. Saya boleh memberi tumpuan penuh untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," kata Sanat Mifzal Shaharuddin, 16, pelajar Tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson yang ditemui sempena kemasukan semula pelajar sekolah Tingkatan 1 hingga 4, hari ini.

Katanya, dia gembira berpeluang kembali belajar di kelas selepas sekian lama belajar secara dalam atas talian di rumah disebabkan pandemik Covid-19.

"Lega dan seronok, sebab belajar bersemuka ini lebih (mudah) dapat ilmu dia berbanding daripada belajar secara dalam talian.

"Saya sebagai pelajar SPM akan dapat belajar dengan lebih baik dan menumpukan perhatian dalam pelajaran untuk menjadi lebih cemerlang dalam SPM nanti," katanya ketika ditemui di hadapan sekolah berkenaan, di sini hari ini.

Menurutnya, dia tidak bimbang ke sekolah kerana penjarakan sosial dan Prosedur Operasi Standard (SOP) dijaga ketika berinteraksi bersama rakan.

"Harapan saya, semua rakan dapat hadir ke sekolah kerana sebelum ini semasa belajar dalam talian, ada yang tidak sertai," katanya.

Manakala, pelajaran Tingkatan 1, Muhammad Sufi Afizuddin Anuar, 13, pula berkata, dia tidak sabar berkenalan dan mendapat rakan baru di sekolah menengah.

"Seronok sangat sebab sudah berbulan-bulan tunggu untuk masuk ke sekolah menengah, dapatlah belajar dan berjumpa dengan kawan daripada asyik duduk di rumah tengok telefon bimbit sahaja," kata anak ketiga daripada empat beradik itu.

TINJAUAN wartawan di luar perkarangan sekolah sempena kemasukan semula pelajar Tingkatan 1 hingga 4 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson. FOTO Balqis Jazimah Zahari
TINJAUAN wartawan di luar perkarangan sekolah sempena kemasukan semula pelajar Tingkatan 1 hingga 4 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Salah seorang bapa pelajar, Anuar Mat Ariffin, 47, mengakui sangat lega selepas kerajaan membenarkan pelajar kembali ke sekolah kerana percaya anaknya lebih fokus ketika belajar di sekolah.

Tinjauan di luar perkarangan sekolah berkenaan mendapati, guru memantau kehadiran pelajar bagi memastikan mereka mematuhi SOP ditetapkan sebelum memasuki pintu sekolah.

Pelajar sekolah menengah di Tingkatan 1 hingga 4 di Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah memulakan sesi persekolahan semalam, sementara bagi negeri lain bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 10:38 AM