Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Selepas hampir enam bulan sekolah ditutup berikutan penularan pandemik Covid-19, kebanyakan pelajar teruja untuk memulakan sesi persekolahan dengan masing-masing sudah lengkap dua dos vaksin.

Tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti, di sini, mendapati pelajar mula sampai di pekarangan sekolah seawal jam 7.04 pagi dan kesemua mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan suhu badan dan merekodkan kehadiran di dalam buku laporan yang disediakan pihak sekolah.

Selain itu, tinjauan juga mendapati keterujaan calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk memulakan sesi persekolahan selepas tertangguh berbulan-bulan akibat penularan pandemik Covid-19.

Ada antara mereka yang membawa bekal makanan sendiri untuk mengelakkan berkumpul di kantin selain membawa cecair pembasmi kuman dan pelitup muka tambahan.

Pelajar Tingkatan Enam Smk Raja Sakti, Syamimie Aziz, 19, Berkata, selepas beberapa bulan mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR), dia lega apabila dapat belajar secara bersemuka, namun pada masa sama tetap patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

"Belajar secara dalam talian tidak dengan belajar secara bersemuka kerana apabila kurang memahami topik yang dibincangkan di dalam kumpulan WhatsApp agak sukar untuk saya bertanya terus kepada guru disebabkan ruang untuk bertanya agak terhad," katanya ketika ditemui di luar perkarangan SMK Raja Sakti, di sini, hari ini.

PELAJAR Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti mengimbas suhu badan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
PELAJAR Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti mengimbas suhu badan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Seorang lagi pelajar, Nur Fakihah Mat Zaid, 19, berkata, berikutan terlalu lama persekolahan ditutup, dia hampir terlupa untuk menjahit pakaian seragam sekolah dan menyebabkan dia terpaksa memakai baju kurung biasa pada hari ini.

"Dalam tahun ini saya hanya sempat hadir ke sekolah selama dua minggu dan sebelum ini sudah membeli kain untuk dijahit, namun sering menangguhnya kerana berpendapat sekolah lambat dibuka sehinggalah Kementerian Pelajaran Malaysia membuat pengumuman sekolah akan dibuka.

"Walaupun berasa janggal apabila perlu hadir ke sekolah selepas berbulan-bulan belajar di rumah, kini saya lega apabila dapat bersemuka dengan guru serta rakan sekelas seperti kebiasaannya, namun dalam suasana norma baharu dengan adanya penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

"Namun tidak dinafikan wujud kebimbangan penularan, bagaimanapun pastinya kami iaitu pelajar dan guru akan sentiasa mematuhi SOP ditetapkan sepanjang berada di sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 9:48 AM