Pelajar Orang Asli yang terkandas  dibawa keluar menggunakan helikopter Unit Udara JBPM.
Pelajar Orang Asli yang terkandas dibawa keluar menggunakan helikopter Unit Udara JBPM.
Ramli Ibrahim


Gua Musang: “Ini pertama kali saya naik helikopter dan begitu seronok dan teruja,” kata Fauzi Sukar, 17, seorang daripada 77 pelajar Orang Asli yang dibawa keluar dengan helikopter untuk melapor diri di sekolah masing-masing, semalam.

Semua pelajar terbabit dari Pos Balar dan Pos Belatim belum melapor diri untuk sesi persekolahan tahun ini berikutan laluan darat di kawasan penempatan mereka rosak teruk dan sukar dilalui.

Demi keselamatan, mereka dibawa keluar menerusi perkhidmatan penerbangan ihsan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Seramai 165 pelajar lagi dari Pos Bihai dan Pos Gob dibawa keluar menerusi penerbangan sama hari ini dan esok.

Fauzi, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Chiku berkata, dia sepatutnya melapor diri pada 2 Januari lalu, namun tidak dapat keluar kerana jalan rosak di rumahnya di Kampung Perawas, Pos Balar.

“Ketika itu saya bimbang kerana tahun ini bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan perlu memberi tumpuan kepada pelajaran. Mujur ada perkhidmatan helikopter ini selepas Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) tidak dapat menggunakan pacuan empat roda untuk mengambil kami di rumah.

“Sekurang-kurangnya dapat juga saya merasa naik helikopter,” katanya.

Bagi Suraya Ajeh, 13, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra 1 (SMKTIP1) Gua Musang, perasaan takut menaiki pesawat itu terpaksa diketepikan demi memastikan dapat ke sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 4:06 AM