APMM menahan sebuah kapal pengangkut dari China yang membawa besi buruk dan peluru meriam dipercayai zaman Perang Dunia Kedua pada kedudukan 20.1 batu nautika timur Tanjung Siang di Kota Tinggi, semalam.
APMM menahan sebuah kapal pengangkut dari China yang membawa besi buruk dan peluru meriam dipercayai zaman Perang Dunia Kedua pada kedudukan 20.1 batu nautika timur Tanjung Siang di Kota Tinggi, semalam.
Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal pengangkut dari China yang membawa besi buruk dan peluru meriam berusia lebih 80 tahun yang digunakan ketika zaman Perang Dunia Kedua di kedudukan 20.1 batu nautika timur Tanjung Siang di sini, semalam.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Zon Maritim Tanjung Sedili pada mulanya menahan kapal itu kerana bersauh tanpa kebenaran Jabatan Laut pada jam 12.45 tengah hari.

"Mereka gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia ketika diperiksa bot ronda APMM yang sedang melaksanakan operasi rutin di perairan Johor timur.

"Hasil pemeriksaan, kapal itu dikendalikan 32 kru lelaki termasuk nakhoda terdiri daripada 21 warga China, 10 warga Bangladesh dan seorang warga tempatan berusia antara 23 hingga 57 tahun.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kapal mendapati terdapat besi buruk peluru meriam disyaki mempunyai kaitan kes penemuan Unexploded Ordnance (UXO) di Tanjung Belungkor pada 19 Mei lalu," katanya menerusi suatu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, APMM akan bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Warisan Negara untuk mengenal pasti peluru yang dijumpai di atas kapal itu.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

"APMM akan terus memantau dan memastikan perairan Johor timur bebas daripada segala aktiviti yang menyalahi undang-undang serta tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan yang lebih tegas," katanya.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 12:13 PM