HANTARAN yang tular mendakwa Neelofa dan PU Riz ke Langkawi. FOTO Facebook
HANTARAN yang tular mendakwa Neelofa dan PU Riz ke Langkawi. FOTO Facebook
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Selebriti popular, Neelofa ke Pulau Langkawi atas urusan kerja dan bukan berbulan madu seperti ditularkan di media sosial.

Mengesahkan perkara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, Neelofa ke pulau peranginan berkenaan bersama tiga yang lain.

Menurutnya, wakil sebuah syarikat produk minuman membuat permohonan rentas negeri di Balai Polis Sri Hartamas.

"Hasil semakan mendapati borang Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membenarkan pergerakan keluar empat individu itu bermula 27 Mac hingga 4 April untuk urusan kerja.

"Syarikat terbabit mengemukakan surat tertera nama Neelofa dan tiga yang lain sebagai mewakili mereka untuk melawat lokasi perniagaan yang akan dibuka di sana," katanya.

Selain Pulau Langkawi, Basri berkata, mereka akan bergerak ke Sungai Petani, Kedah dan Kangar, Perlis.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya terbukti Neelofa ke Langkawi untuk tujuan berbulan madu, pihak polis boleh mengambil tindakan kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Semalam, beberapa gambar memaparkan Neelofa dan suaminya, Haris Ismail berada di Langkawi tular di media sosial dengan dakwaan mereka berbulan madu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 10:41 PM