HANTARAN yang tular mendakwa Neelofa dan PU Riz ke Langkawi. FOTO Facebook
HANTARAN yang tular mendakwa Neelofa dan PU Riz ke Langkawi. FOTO Facebook
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Selepas majlis pernikahan Sabtu lalu disiasat berikutan didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Neelofa dan PU Riz sekali lagi menjadi tumpuan apabila tular pula beberapa gambar mereka dikatakan merentas negeri untuk berbulan madu di Langkawi.

Menerusi gambar itu, Neelofa dan Riz atau nama sebenarnya Haris Ismail dilihat berada di lapangan terbang serta dalam penerbangan dipercayai menuju ke pulau peranginan itu.

Rata-rata netizen tidak berpuas hati dan mempersoalkan bagaimana pasangan itu dibenarkan merentas negeri sebagaimana yang didakwa.

Bagaimanapun, di sebaliknya ada juga yang berpendapat mereka menggunakan khidmat agensi pelancongan untuk merentas negeri.

Semakan Harian Metro di Instagram Neelofa dan Riz pula mendapati tiada sebarang perkongsian mengenai aktiviti mereka sama ada pergi berbulan madu atau sebaliknya.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi pengurusan Neelofa bagi mendapatkan pengesahan berhubung dakwaan ini tidak berjaya apabila panggilan telefon dan mesej WhatsApp tidak dijawab.

Pasangan ini melangsungkan pernikahan dalam satu majlis tertutup di sebuah hotel terkemuka di sini, Sabtu lalu.

Sebelum ini, MKN mengumumkan penduduk dari negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan melancong, namun perlu menggunakan agensi pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia berkuatkuasa 10 Mac lalu.

Bagaimanapun, kebenaran merentas negeri hanya dibenarkan di antara negeri kategori PKPP saja.

Berdasarkan laporan terbaharu MKN, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak tertakluk sebagai enam negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), manakala lapan lagi negeri iaitu Kedah, Sabah, Terengganu, Sabah, Perak, Perlis, Negeri Sembilan dan Melaka pula di bawah PKPP.

Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan keluarga Neelofa akan dipanggil memberi keterangan hari ini berhubung pematuhan SOP pada majlis pernikahannya.

Terdahulu, tular satu gambar di media sosial mendakwa majlis perkahwinan selebriti itu tidak mematuhi SOP yang ditetapkan MKN sehingga mendapat kecaman ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 1:57 PM