NEELOFA.
NEELOFA.
Wartawan HM


Kuala Lumpur: Selebriti sensasi, Neelofa, 32, terus menjadi perhatian warganet di media sosial apabila tersebar pula video pendek meraikan kemeriahan Aidilfitri baru-baru ini bersama ahli keluarganya.

Video berdurasi 27 saat dengan kapsyen "1 Syawal yang penuh mulia" itu, menyaksikan kakak Neelofa, Noor Nabila sedang bersalaman dengan ibu bapanya, dipercayai 'terlepas' dikongsikan seketika oleh Nabila di Instagram Story.

Begitu cekap dan pantasnya warga netizen, apabila ia tetap dapat ditularkan di Twitter, meskipun kini video itu sudah dipadamkan oleh Nabila di media sosialnya.

Rata-rata netizen kembali 'panas hati' dan bengang dengan Neelofa termasuk keluarganya. Malah, usahawan terkenal itu disifatkan sangat berani melanggar undang-undang yang sudah beberapa kali dilakukannya.

Belum lagi reda isu merentas negeri yang dilakukan pada Ramadan lalu ke Pusat Perniagaan Nilai 3, Negeri Sembilan bagi membeli karpet, sekarang timbul pula kisah baharu berikutan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri yang ditetapkan.

Pelbagai luahan panas dan berbaur kecaman ditulis netizen di Twitter berhubung dakwaan isu melanggar SOP lagi yang dibuat Neelofa dan keluarganya kali ini.

""Wah seronoknya. Betul-betul kebal geng ni," tulis seorang netizen.

"Ermmmmmmm meriah semua duduk serumah tu?" kata seorang warganet lagi.

"Khardhasian versi Kelate hok aloh deme ni," tulis seorang pengguna media sosial.

Sehubungan itu, sebelum sambutan Aidilfitri baru-baru ini kerajaan mengumumkan selain tidak boleh merentas negeri dan daerah, tidak dibenarkan juga sebarang aktiviti kunjung-mengunjung pada hari raya sepanjang PKP dilaksanakan.

Kes Neelofa dan suaminya, Haris Ismail merentas negeri ke Nilai juga masih disiasat meskipun kedua-dua mereka sudah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, memberikan keterangan.

Terdahulu, Neelofa dan keluarganya dikenakan kompaun sebanyak RM60,000 atas kesalahan kegagalan mematuhi SOP penganjuran majlis sosial serta melanggar kebenaran merentas negeri.

Pada 27 Mac lalu, Neelofa selamat bernikah dengan suaminya, Haris atau lebih dikenali PU Riz, dan kemudian pasangan ini ke Langkawi, Kedah atas urusan perniagaan, tetapi mencetus sensasi apabila banyak aktiviti dibuat mereka seperti berbulan madu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 10:31 AM