MUHD Nur Syam Asmawie berkata hasil perbualan awal, mangsa memaklumkan dia bekerja dengan sebuah bot yang mempunyai enam kru termasuk tekong. FOTO Bernama
MUHD Nur Syam Asmawie berkata hasil perbualan awal, mangsa memaklumkan dia bekerja dengan sebuah bot yang mempunyai enam kru termasuk tekong. FOTO Bernama
BERNAMA

Kota Bharu: Tiga lagi lelaki warga Vietnam yang dipercayai hanyut ditemukan selamat oleh kru sebuah kapal pelantar tempatan Kapal Express 93 berhampiran sempadan Malaysia-Thailand dekat Pasir Puteh, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, mangsa yang ditemukan adalah Tee Lee Van Chong yang juga tekong bot, Cau Van Wang dan Nguyen Hau Binh, masing-masing berusia antara 20 hingga 47 tahun.

Kesemua mangsa dijumpai sekitar 8.30 pagi semalam, pada jarak 5.7 batu nautika dari lokasi penemuan mangsa pertama yang juga kru bot sama, Le Hoang Em, 41, pada Sabtu lalu.

"Menurut tekong, mereka keluar ke laut pada 11 Mac lepas dan ditimpa ribut pada 27 Mac yang menyebabkan bot mereka terbalik.

"Ketiga-tiga mangsa ditemukan berada di sebuah pelantar lama yang ditinggalkan untuk menunggu bantuan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhd Nur Syam Asmawie berkata, kesemua mangsa sudah distabilkan oleh kru kapal serta diberi makanan dan minuman serta mereka dibawa ke Klinik Kesihatan Cherang Ruku, Pasir Puteh untuk menjalani ujian calitan Covid-19.

Beliau berkata, kertas siasatan akan dibuka dan keterangan setiap kru serta tekong akan diambil bagi mendapatkan fakta lanjut mengenai insiden bot karam berkenaan.

"Sekiranya tiada isu berbangkit, kesemua empat mangsa akan diserahkan kepada pihak Kedutaan Vietnam di Malaysia untuk tindakan selanjutnya," katanya sambil menambah berdasarkan kenyataan tekong bot itu, hanya seorang lagi kru masih hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 7:24 PM