Nur Syam (tengah) memeriksa krew warganegara asing yang ditahan bersama dua bot yang menceroboh perairan negara. FOTO  ihsan pembaca
Nur Syam (tengah) memeriksa krew warganegara asing yang ditahan bersama dua bot yang menceroboh perairan negara. FOTO ihsan pembaca
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot asing disyaki dari Thailand dan Vietnam, serta merampas 100 kilogram (kg) gamat, Khamis lalu.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, tangkapan pertama dilakukan Kapal Maritim (KM) Amanah ke atas kapal tangki Thailand pada jarak 110 batu nautika dari muara Tok Bali pada 8 pagi.

Sementara, bot kedua dari Vietnam yang ditahan pada jarak 45.1 batu nautika dari muara Tok Bali pada jam 12.30 tengah hari.

"Kita menggeledah bot pertama dan menahan lapan kru berusia antara 18 hingga 60 tahun manakala bot kedua dinaiki empat kru berusia antara 28 hingga 36 tahun termasuk seorang tekong serta 100 kg gamat.

"APMM mengambil masa 33 jam untuk menunda kedua bot ke jeti Maritim Kelantan," katanya ketika sidang media di jeti APMM Tok Bali, di sini, hari ini.

Muhd Nur Syam berkata, kesemua kru dan tekong yang ditahan tidak mempunyai dokumen pengenalan yang sah.

Katanya, nilai rampasan kedua-dua bot vesel bersama minyak diesel dan 100 kg gamat sebanyak RM1.6 juta.

"Tidak seperti bot lain, kali ini bot nelayan asing seolah-olah 'menyerah diri' kerana tiada pergelutan atau tindakan melarikan diri, kita hanya ambil masa 30 minit untuk menggeledah kawasan bot.

"Ini berkemungkinan mereka tidak mempunyai bekalan diesel seperti bot lain dan kita tengah siasat sekiranya mereka ini menjadi 'feeder' yang menyalurkan diesel kepada bot nelayan asing lain dan aktiviti ini dilakukan di laut," katanya.

Beliau berkata, semua tahanan didakwa mengikut Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen (6)(1)(c) yang membawa denda RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh dikenakan sebat tidak lebih enam kali jika sabit kesalahan.

Katanya, bagi kapal tangki, kes disiasat mengikut Seksyen 361(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

"Sementara, bot nelayan asing disiasat mengikut Seksyen (15)(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang membawa hukuman denda RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 kepada setiap kru kerana menceroboh perairan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 3:34 PM