Gamat yang ditangguk nelayan asing ketika menceroboh perairan Tok Bali, Pasir Puteh pada Khamis lalu. Foto Ihsan APMM
Gamat yang ditangguk nelayan asing ketika menceroboh perairan Tok Bali, Pasir Puteh pada Khamis lalu. Foto Ihsan APMM
Nor Amalina Alias

Pasir Puteh: Cubaan nelayan asing menceroboh perairan negara dan menangguk kira-kira 40 kilogram (kg) gamat berjaya dihalang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada Khamis lalu.

Dalam kejadian pada 3 petang itu, kehadiran nelayan dipercayai daripada Vietnam itu yang menggunakan bot warna hijau dan kelabu disedari bot peronda APMM ketika melaksanakan Ops Naga dan Ops Damai.

Pengarah APMM Kelantan Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, pihaknya terpaksa mengejar bot berkenaan kira-kira 30 minit dan berjaya menahannya di kedudukan 57 batu nautika dari muara Tok Bali dekat sini.

Menurutnya, terdapat tiga kru termasuk tekong berusia antara 30 hingga 38 tahun dalam bot berkenaan dan mereka didapati tidak memiliki dokumen sah.

Katanya, pemeriksaan lanjut ditemukan gamat yang dianggarkan bernilai RM4,000.

"Turut dirampas adalah diesel kira-kira 700 liter dan peralatan menangguk gamat dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM300,000.

"Bot dan kesemua nelayan dibawa ke jeti APMM Kelantan di Tok Bali untuk disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap hasil laut atau cuba menangkap hasil laut tanpa kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia.

"Sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman denda RM6 juta ke atas tekong dan RM600,000 kepada awak-awak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 6:20 PM