NELAYAN warga Vietnam ditahan bersama 100 kilogram ikan pelbagai jenis yang menceroboh perairan negara ditangkap APMM pada Ahad. FOTO ihsan APMM
NELAYAN warga Vietnam ditahan bersama 100 kilogram ikan pelbagai jenis yang menceroboh perairan negara ditangkap APMM pada Ahad. FOTO ihsan APMM
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Tindakan licik nelayan Vietnam mengambil kesempatan ketibaan Aidilfitri untuk mengaut hasil laut negara gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Ahad lalu.

Mereka ditahan bersama 100 kilogram pelbagai jenis ikan dan 200 liter bekalan diesel dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk peralatan menangkap ikan berjumlah RM400,000.

Pengarah APMM Kelantan Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, pihaknya mengesan sebuah bot berwarna kelabu berjalur biru dalam keadaan mencurigakan pada jarak 92 batu nautika dari muara Tok Bali pada 11.47 pagi.

"Mereka bertindak melarikan diri ke sempadan perairan Vietnam sebaik menyedari kehadiran APMM, dan berjaya menahan mereka dalam tempoh 18 minit kemudian.

"Kesemua yang ditahan adalah enam kru warga Vietnam termasuk tekong berusia 35 hingga 61 tahun dan mereka dibawa balik ke Jeti Maritim Kelantan di Tok Bali," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhd Nur Syam berkata, kru dan tekong itu gagal mengemukakan sebarang pengenalan diri dan tiada kebenaran melakukan aktiviti perikanan di perairan negara.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 5:50 PM