TENGKU Razaleigh (kiri) dan Khairy Jamaluddin pada program Debat Calon Presiden UMNO yang disiarkan di Astro Awani, malam ini. FOTO Halim Salleh
TENGKU Razaleigh (kiri) dan Khairy Jamaluddin pada program Debat Calon Presiden UMNO yang disiarkan di Astro Awani, malam ini. FOTO Halim Salleh
Mohd Iskandar Ibrahim; Ahmad Suhael Adnan dan Arfa Yunus


PRESIDEN UMNO tidak seharusnya menggunakan pintu belakang untuk berunding dengan kerajaan sebaliknya memimpin parti itu menjadi pembangkang yang konstruktif.

Calon Presiden UMNO Khairy Jamaluddin berkata, parti itu seharusnya menubuhkan kabinet bayangan bagi mengimbangi dan menuntut janji daripada kerajaan yang dipimpin Pakatan Harapan.

“Saya tidak mahu menjadi Presiden menggunakan jalan pintas, runding dengan kerajaan guna pintu belakang, ini semua tidak perlu. Kita tidak perlu minta nyawa daripada mereka (Pakatan Harapan).

“Selain keterbukaan, UMNO perlu ada persediaan dan sebab itu sekiranya saya terpilih sebagai Presiden UMNO, perkara pertama yang akan saya lakukan ialah menubuhkan Kabinet bayangan sebagai persediaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Debat Calon Presiden UMNO yang disiarkan di Astro Awani, malam ini.

Selain Khairy, debat itu turut disertai dua lagi calon iaitu Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagi Tengku Razaleigh pula, dua perubahan drastik akan dilakukannya jika terpilih memegang jawatan nombor satu parti berkenaan.

“Pertama masalah dalam UMNO akhir-akhir ini, bahkan 20 tahun lebih dikongkong daripada atas sehingga orang bawah tidak boleh bersuara.

“Saya mencadangkan supaya perkara ini diubah dan memberi kepada orang bawah pula untuk mempengaruhi orang di atas.

“Maka saya mencadangkan sebagai permulaan ada gabungan orang muda dan orang lama kerana orang muda lebih bertenaga, lebih produktif, banyak pendedahan dan dapat latihan dengan kelayakan untuk bergerak ke depan manakala orang lama dapat bimbing mereka,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO tidak boleh dibuka kepada kaum lain kerana parti terbabit adalah milik orang Melayu dan Bumiputera.

AHMAD Zahid. FOTO Arkib NSTP
AHMAD Zahid. FOTO Arkib NSTP

“Perkara pertama yang harus difikirkan ialah apakah sesuatu yang harus kita tawarkan kepada ahli UMNO. Harus merungkai terlebih dahulu permasalahan UMNO dan roh sebenar UMNO harus dikembalikan semua kepada UMNO.

“UMNO pernah diharamkan sehingga tertubuh UMNO 2.0 dan kini tiba masa untuk UMNO 3.0.

“Barisan Nasional (BN) juga harus dijenamakan semula kerana saya mahu melihat bahawa isi kandungan, roh dan semangat parti ini dikembalikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 11:01 PM