Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah memberikan perakuan bahawa parti itu akan menyokong semua calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak, kata Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan kepimpinan GRS dan BN amat menghargainya.

"GRS akan menyokong semua calon BN. Kami amat menghargainya dan semoga perkara ini dapat direalisasikan apabila tiba masanya," katanya pada sidang media selepas perjumpaan khas bersama Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini

Beliau berkata, Dewan Tertinggi BN juga akan memutuskan mengenai beberapa permohonan parti yang mahu sertai BN.

"Kami yakin dengan empat parti teras, lapan parti gabungan dan tujuh parti baharu yang mahu sertai BN, perkara ini akan kita bawa dalam mesyuarat Dewan Tertinggi," katanya.

AHMAD Zahid berucap ketika Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
AHMAD Zahid berucap ketika Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Beliau turut menegaskan dalam perjumpaan khas hari ini, amanat diberikan kepada kepemimpinan parti Umno empat peringkat membabitkan ketua bahagian, sayap Pemuda, Wanita dan Puteri supaya sudah mempunyai kesiapsiagaan untuk menentukan jentera pilihan raya sama ada di peringkat lokaliti, Pusat Daerah Mengundi (PDM), Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen bersiap siaga menghadapi PRU15.

Beliau mengulangi menegaskan apabila Biro Politik Majlis Tertinggi Umno pada 30 September lalu membuat keputusan, ia adalah keputusan rasmi Umno bahawa PRU15 wajib dilaksanakan tahun ini.

"Kami telah meneliti laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Insya-Allah pilihan raya dibuat sebelum banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 6:22 PM