Apoi yang ditangkap bersama ibunya Ipoi di ladang kelapa sawit di Kg Bersia, Gerik dicurah air oleh salah seorang anggota PKGK sebelum disuntik pelali untuk dipindahkan ke Hutan Belum hari ini. FOTO MOHD RASHIDI YUSUF
Apoi yang ditangkap bersama ibunya Ipoi di ladang kelapa sawit di Kg Bersia, Gerik dicurah air oleh salah seorang anggota PKGK sebelum disuntik pelali untuk dipindahkan ke Hutan Belum hari ini. FOTO MOHD RASHIDI YUSUF
Mohd Rashidi Yusuf

Gerik: Ipoi dan Apoi iaitu ibu serta anak gajah jantan baru berusia kira-kira setahun yang ditangkap Unit Tangkapan Gajah Perak (UTGP) di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Bersia dekat sini, pada 22 Mac lalu berjaya dipindahkan ke Hutan Belum hari ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Yusoff Shariff berkata, Ipoi yang berusia antara 30 hingga 35 tahun dengan anggaran berat kira-kira 1,800 hingga 2,000 kilogram (kg), manakala anaknya pula seberat antara 200 hingga 250 kg.

Menurutnya, tangkapan dua gajah di ladang kelapa sawit itu adalah kejayaan kedua selepas tangkapan pertama membabitkan seekor gajah jantan dewasa pada 2019.

"Hari ini, kedua gajah itu dipindahkan ke Hutan Royal Belum dalam operasi bermula 9 pagi hingga 11.45 pagi oleh 12 anggota Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Pahang diketuai Zainuddin Busra dengan bantuan 10 anggota UTGP dengan menggunakan dua denak, About dan Rambai," katanya.

Yusoff berkata, kedua-dua gajah itu adalah sebahagian daripada 25 hingga 30 ekor gajah konflik daripada ID Kumpulan Temenggor yang menjadikan Hutan Simpan Temenggor sebagai kawasannya berkeliaran, tetapi sering memasuki kawasan ladang dan menimbulkan masalah kepada penduduk khususnya pekebun kecil getah dan kelapa sawit.

Menurutnya, Apoi yang belum tumbuh gading tidak dihantar ke PKGK di Kuala Gandah seperti kebiasaan anak gajah lain yang berjaya ditangkap, oleh kerana ibunya juga berjaya ditangkap menyebabkannya dipindahkan ke Hutan Royal Belum bersama-sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 3:34 PM