Dziyaul Afnan Abdul Rahman


BEKAS banduan yang juga ketua sindiket pengedaran serbuk daun ketum masih tidak serik apabila ditahan semula di sebuah rumah dalam serbuan di Kampung Paya, Padang Besar, semalam.

Sebelum ini, lelaki berusia 45 tahun itu pernah ditahan sebanyak dua kali atas kesalahan memproses dan mengedar serbuk daun ketum melalui media sosial dan memasarkannya sehingga ke Eropah.

Dalam operasi itu, polis turut merampas 18 kilogram serbuk daun ketum dalam tiga guni plastik dan 31 kilogram daun ketum sedang diproses menjadi serbuk bernilai RM5,000 di rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, kegiatan lelaki terbabit dikesan melalui maklumat risikan apabila dia didapati menjalankan kegiatan lama selepas keluar penjara pada 2018.

“Dalam operasi pada 11.30 pagi, suspek berada di rumah bersama serbuk daun ketum, daun ketum yang sedang diproses menjadi serbuk dan alat penimbang.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku menjalankan semula kegiatan lamanya dengan mengeksport daun ketum dalam bentuk serbuk ke pasaran luar negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Ukraine dan Kanada.

“Dia memberi alasan bahawa kesemua serbuk terbabit digunakan untuk kajian pihak tertentu dan dijual pada harga USD25 (RM104) sekilogram menggunakan kurier selepas mengisytiharkan serbuk ketum terbabit sebagai serbuk inai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, hari ini.

KETUA Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Muhamad Halim Yatim (dua dari kiri) bersama barangan rampasan bernilai RM5,000 berupa serbuk daun ketum dan daun ketum yang dirampas dalam satu serbuan di Kaki Bukit, Padang Besar. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
KETUA Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Muhamad Halim Yatim (dua dari kiri) bersama barangan rampasan bernilai RM5,000 berupa serbuk daun ketum dan daun ketum yang dirampas dalam satu serbuan di Kaki Bukit, Padang Besar. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Muhamad Halim berkata, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan mampu menjana pendapatan sehingga RM8,000 sebulan melalui hasil jualan serbuk ketum berkenaan.

“Hasil saringan ujian air kencing juga mendapati dia positif syabu dan kita percaya kesemua hasil jualan ketum terbabit digunakan untuk membeli bekalan dadah.

“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Harian Metro pada November 2017 lalu melaporkan polis menahan seorang jurutera mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang menjadikan rumahnya sebagai tempat memproses serbuk daun ketum untuk pasaran antarabangsa di Kaki Bukit, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 2:47 PM