Nurul Hidayah Bahaudin


OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di flat di Bandar Seri Putra, Bangi, kelmarin ditangguhkan pada 7.30 malam ini.

Mangsa, Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, 8, disedari hilang oleh ibunya, Sainih Sunding, 46, sebaik dia pulang ke rumah dari tempat kerja pada 7 malam kelmarin.

SAR disertai 20 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pihak polis dilakukan di Sungai Semenyih, bermula 5.40 petang hari ini.

Ketua BBP Bangi, Rosman Majid berkata, seramai sembilan anggota bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi berkenaan.

“Pencarian bermula di lokasi kira-kira satu kilometer dari rumah mangsa serta di sekitar Sungai Semenyih sejauh tujuh kilometer hingga ke kawasan perangkap sampah.

“Bagaimanapun, kami berdepan kesukaran untuk menurunkan bot bomba kerana ia terlalu besar memandangkan sungai itu cetek.

ANGGOTA bomba dan APM memulakan SAR untuk mengesan Muhammad Zahiruddin Putra di sekitar Sungai Semenyih, hari ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin.
ANGGOTA bomba dan APM memulakan SAR untuk mengesan Muhammad Zahiruddin Putra di sekitar Sungai Semenyih, hari ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin.

“Kami bekerjasama dengan pihak APM dengan menggunakan bot mereka dalam operasi ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau berkata, operasi itu akan disambung semula pada 9 pagi esok dan mereka akan menggunakan khidmat anjing pengesan (K9) bomba bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

Katanya, pada masa sama, mereka akan memperluaskan kawasan pencarian.

Semalam, portal berita Harian Metro melaporkan kanak-kanak itu dikatakan keluar dari rumahnya pada 8 pagi untuk keluar bermain dengan rakannya.

Berita berkaitan

Zahir di Bandar Tasik Selatan?

Zahir di mana?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 8:42 PM