Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: PAS mencadangkan persempadanan semula di beberapa negeri majoriti Melayu dilakukan bagi menambah bilangan kerusi kaum berkenaan di Parlimen.

Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, cadangan untuk persempadanan semula itu sudah lama dibuat bagi menambah kawasan pilihan raya.

Katanya, mungkin ada kawasan yang mencatatkan peningkatan jumlah pengundi dan ia perlu dibuat persempadanan semula.

"Sebab pertama persempadanan semula kerana pertambahan pengundi terutama di sebelah Pantai Timur iaitu Kelantan dan sebahagiannya di Kedah, Pahang dan Terengganu.

"Satu kawasan parlimen itu, jumlah pengundinya sehingga 80,000 orang, jadi dari segi wakil rakyat nak menjaganya, menjadi satu beban kepada dia. Sebab biasa dalam 20,000 sehingga 30,000 orang dan paling ramai 40,000 pengundi.

"Jadi, sejak dulu lebih pada 10 tahun lalu lagi, kita sudah mencadangkan ketika pemerintahan (bekas) Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya dibuat semakan dan persempadanan semula," katanya ketika ditemui selepas Program Imunisasi Covid-19 Peringkat Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PAS mencadangkan supaya ditambah kerusi di kawasan negeri yang dikuasai majoriti Islam di Kelantan, Kedah, Pahang dan Terengganu.

DATUK Ahmad Yakob menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19 jenis Pfizer BioNTech daripada Jururawat Kesihatan Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Ahmad Yakob menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19 jenis Pfizer BioNTech daripada Jururawat Kesihatan Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Ia juga dapat kita kekalkan (pemimpin Melayu) di parlimen. Cadangan (persempadanan semula) ini dah lama, tetapi tidak pernah diambil kira oleh pihak kerajaan.

"Kita harap ia diberi pertimbangan sebab sekurang-kurangnya ia boleh menyeimbangkan kerusi (Melayu) di Parlimen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 3:33 PM