Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: PAS Kelantan tidak mahu membuat sebarang tafsiran berkaitan gambar bumi berwarna biru yang dimuat naik di akaun Facebook penyandang kerusi Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, semalam.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada pihak terbabit.

Katanya, isu berkenaan bukan di bawah pengetahuannya dan enggan mengulas lanjut.

"Kena tanya tuan punya badan (Nik Mohamad Abduh), saya pun tidak tahu dan tidak pandai hendak tafsir-tafsir mengenainya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Khas Menteri Besar Sempena 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan, penyandang kerusi Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abduk Aziz mencetuskan tanda tanya apabila memuat naik gambar bumi berwarna biru di akaun Facebook miliknya semalam.

Pada masa sama, anak kepada bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu turut membuat satu hantaran yang menggambarkan perasaannya ketika ini.

Sebelum ini, khabar angin tersebar mendakwa bekas Ketua Pemuda PAS itu tidak tersenarai sebagai calon PAS pada PRU15.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar berkata, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan mengenai desas desus berhubung nama penyandang parlimen Tumpat Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Nik Abduh yang tidak tersenarai dalam PRU15.

"Senarai calon PAS yang sudah dimuktamadkan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kini berada di tangan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

"Senarai semua calon-calon ini akan diisytiharkan pada malam esok.

"Jangan tidur dan tunggu pengumuman yang dibuat," katanya sambil berseloroh.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini tidak pernah berlaku situasi 'cah keting' (sabotaj) dalam PAS dan berharap ia tidak berlaku.

"Sekarang ini terpulang kepada pengundi bagaimana untuk menilai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 1:14 PM
MOHD Amar ketika sidang media selepas Majlis Amanat Khas Menteri Besar Sempena 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini..FOTO Hazira Ahmad Zaidi
MOHD Amar ketika sidang media selepas Majlis Amanat Khas Menteri Besar Sempena 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini..FOTO Hazira Ahmad Zaidi