Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Jaringan Melayu Malaysia (JMM), hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan kewujudan kartel daging import sejuk beku yang dikuasai 'orang ternama' di negara ini.

Presidennya Hamdan Mohd Salleh mendakwa kartel membabitkan rangkaian di peringkat antarabangsa itu juga menguasai pemimpin tertentu.

Katanya, pihaknya tidak dapat mendedahkan maklumat dalam laporan polis buat masa ini atas nasihat pihak tertentu.

"Saya tidak boleh mendedahkan keseluruhan kandungan laporan polis kepada pihak media kerana ia membabitkan rangkain kartel daging import yang besar.

"Ia membabitkan peringkat antarabangsa dan mempunyai pengaruh termasuk di kalangan 'orang besar' di Malaysia," katanya kepada media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua pihak diminta memberi ruang supaya polis menjalankan siasatan mereka.

Hamdan Mohd Salleh pada sidang media selepas membuat laporan polis berkaitan kartel daging sejuk beku di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Hamdan Mohd Salleh pada sidang media selepas membuat laporan polis berkaitan kartel daging sejuk beku di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. FOTO HAZREEN MOHAMAD

Menurutnya, pihaknya akan membuat satu lagi pendedahan di Putrajaya berkaitan agensi dan kementerian tertentu yang dipercayai terbabit dalam kartel itu pada 28 Mac depan.

"Ia adalah pendedahan yang mempunyai risiko amat besar untuk saya dan pertubuhan saya," katanya.

Pada 2 Disember tahun lalu, modus operandi kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dibongkar dalam serbuan di sebuah gudang di Senai, Johor.

Kegiatan itu dipercayai dijalankan sejak beberapa tahun lalu dengan menjadikan gudang itu sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu untuk ditampal pada kotak daging import yang dibungkus semula sebelum dijual di pasaran tempatan sebagai daging halal.

Sejumlah 1,500 tan daging sejuk beku bernilai RM30 juta disita dalam operasi yang diketuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 6:35 PM