Redzuan Muharam


Putrajaya: Gagasan Baru Harapan Malaysia (GBHM) bersama Pertubuhan Kebajikan Anak Bersatu Selangor (PKABS) menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat dalang sindiket kartel daging import menggunakan sijil halal palsu.

Presiden GBHM Mohd Zulfitri Mohd Basir berkata, tindakan itu diambil bagi membawa suara dan kebimbangan masyarakat beragama Islam susulan status halal daging import dipasarkan di negara ini.

"Sejak isu kartel dimainkan sekian lama, tiada satu pihak mengambil tindakan terhadap pihak yang bersalah.

"Hari ini, kami (GBHM) bersama dengan PKABS sepakat menghantar memorandum mengandungi 11 desakan kepada SPRM untuk menyiasat siapakah dalang di sebalik sindiket kartel sehingga daging haram tersebar luas di seluruh negara.

"Kami hadir membawa keresahan dan kerisauan masyarakat beragama Islam berhubung 1,500 tan metrik (daging sejuk beku) disita bernilai RM30 juta. Isunya kita tidak tahu berapa banyak sudah tersebar di seluruh Malaysia?," katanya selepas menyerahkan memorandum di Ibu Pejabat SPRM di sini, tadi.

Hadir sama, Pengerusi PKABS Rahmadin Alimudin, Setiausaha Agung GBHM, Azhari Jamal dan beberapa ahli barisan majlis tertinggi kedua-dua persatuan.

MOHD Zulfitri (kanan) pada sidang media ketika hadir bagi menyerahkan memorandum mendesak SPRM menyiasat berhubung isu ‘kartel’ daging import yang menggunakan logo Halal palsu di perkarangan SPRM. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
MOHD Zulfitri (kanan) pada sidang media ketika hadir bagi menyerahkan memorandum mendesak SPRM menyiasat berhubung isu ‘kartel’ daging import yang menggunakan logo Halal palsu di perkarangan SPRM. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

"Kami juga mendesak untuk mengetahui bagaimana daging sebanyak itu boleh lolos daripada pemeriksaan pihak berkuasa, siapakah yang menyediakan dan membuat dokumen palsu bagi kartel ,siapakah dalang dan mengapakah sindiket itu kebal seolah-olah dilindungi pihak tertentu.

"Perkara lain yang terkandung dalam memorandum adalah mengapa daging diedarkan tidak disita daripada pasaran, ke manakah daging dipasarkan dan berapa lama pengedaran berlaku, mengapa tiada serbuan ke negeri lain yang mungkin terbabit serta jumlah sebenar daging terlepas ke pasaran selama ini, " katanya.

Menurut Mohd Zulfitri, pihaknya menghantar memorandum kepada SPRM kerana menaruh keyakinan terhadap badan berkenaan dalam menjalankan siasatan.

Katanya, GBHM dan PKABS tidak meletakkan tempoh tertentu untuk mengambil tindakan susulan tetapi berharap siasatan dilakukan segera oleh SPRM .

"Buat masa ini, kita hanya menghantar memorandum kepada SPRM memandangkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain sudah mengeluarkan kenyataan dan perkara ini juga sudah dibahas di Parlimen," katanya.

Media sebelum ini melaporkan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh negara.

Kegiatan itu terbongkar hasil serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai ,Johor pada 1 Disember lalu yang diketuai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor bersama agensi penguatkuasa lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 5:29 PM