KANAK-KANAK perempuan yang berjaya  diselamatkan selepas terperangkap dalam kereta diserah semula kepada ibunya. FOTO Ihsan bomba
KANAK-KANAK perempuan yang berjaya diselamatkan selepas terperangkap dalam kereta diserah semula kepada ibunya. FOTO Ihsan bomba
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun terperangkap lebih 10 minit dalam kereta Proton Satria Neo milik ibunya dalam kejadian berdekatan Kompleks Alor Malai, Jalan Langgar, di sini hari ini.

Difahamkan, kanak-kanak perempuan itu ditinggalkan sementara oleh ibunya berusia 43 tahun sebelum menyedari pintu kereta berkenaan terkunci.

Orang ramai cuba membantu mengeluarkan mangsa namun gagal sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.08 tengah hari.

Katanya, pihaknya tiba di lokasi jam 12.13 tengahari.

"Operasi disertai sembilan anggota dan dua jentera termasuk EMRS. Setibanya di lokasi di dapati kanak-kanak itu terperangkap dalam kereta berkenaan dan anggota kami menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kereta berkenaan yang mengambil masa kurang dari lima minit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi itu tamat sepenuhnya jam 12.31 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 3:33 PM