ANGGOTA bomba melakukan pencarian di kawasan kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam parit. FOTO ihsan BOMBA
ANGGOTA bomba melakukan pencarian di kawasan kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam parit. FOTO ihsan BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


KANAK-KANAK lelaki berusia sembilan tahun terselamat, manakala seorang lagi dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam parit di Jalan Padang Temusu, Kampung Padang Temusu, Sungai Petani, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.37 petang hari ini.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu tiba di lokasi pada 5.44 petang.

Turut sama, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Sungai Petani.

"Maklumat awal yang diterima anggota ialah dua kanak-kanak lelaki dipercayai hanyut dalam parit.

"Bagaimanapun, seorang daripadanya berjaya diselamatkan orang awam, manakala seorang lagi iaitu kanak-kanak lelaki berusia enam tahun masih hilang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan di lokasi dan kawasan hilir sungai menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.

Katanya, identiti kanak-kanak itu belum diperoleh dan operasi di air bersambung pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 9:03 PM