GAMBAR hiasan. FOTO Farizul Hafiz Awang
GAMBAR hiasan. FOTO Farizul Hafiz Awang
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Seramai 268,000 warga emas di Sabah disasarkan menerima suntikan vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua yang bermula hari ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmy Yahya yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, selain mereka berumur 60 tahun ke atas, golongan berisiko serta mempunyai penyakit kronik dan Orang Kurang Upaya (OKU) antara yang dikenal pasti sebagai penerima vaksin.

Beliau juga meminta semua rakyat negeri itu untuk mendaftar dengan PICK untuk mengekang penularan Covid-19.

"Seperti yang kita semua maklum, jumlah pendaftaran di Sabah setakat ini masih dalam kadar agak rendah di mana setakat 17 April lalu (Sabtu), seramai 426,934 orang yang telah mendaftar sebagai penerima vaksin.

"Saya berharap dengan selesainya PICK fasa pertama yang mana lebih 42,000 telah melengkapkan dua dos suntikan, akan menjadi testimoni kepada ahli keluarga dan rakan mereka yang layak menerima vaksin.

"Diharapkan juga segala persepsi negatif yang tular di media sosial akan dapat ditangkis secara perlahan dengan adanya testimoni daripada mereka yang sudah disuntik dos pertama hari ini," katanya pada sidang media selepas program berkenaan di Dewan Serbaguna Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Dr Zulkapli Mohamed dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Christina Rundi.

Dalam pada itu, Shahelmy mengesahkan enam petugas barisan hadapan dijangkiti Covid-19 meskipun sudah menerima vaksin.

"Ini adalah disebabkan kontak rapat dan juga ada yang positif selepas kurang daripada seminggu mendapat suntikan vaksin.

"Ini bermakna bahawa pemberian vaksin tidak menjamin 100 peratus kita tidak akan dijangkiti tetapi ia akan meningkatkan imunisasi dalam badan kita dan itulah tujuan vaksin agar penularan jangkitan virus ini akan dapat kita bendung dan kurangkan.

"Bagaimanapun, kita masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerana kita masih belum mencapai 80 peratus imuniti kelompok," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 12:27 PM