Zaid Salim

Kuala Nerus: Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM) akan melupuskan 43 bot nelayan Vietnam yang dianggarkan bernilai RM150 juta tahun ini.

Pengarahnya, Kepten Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, semua bot terbabit ditahan menerusi Op Naga Barat dan Op Iman pada 2018 dan 2019, yang akan ditenggelamkan di Perairan Kuala Nerus untuk dijadikan tukun tiruan.

"Sepanjang tahun ini, kita akan melupuskan sebanyak 43 bot nelayan Vietnam yang sudah dilucut hak oleh mahkamah.

"Hari ini kita melupuskan empat bot manakala selebihnya akan dilakukan secara berperingkat di beberapa lokasi sekitar lima batu nautika dari kawasan pantai di sepanjang perairan negeri ini.

"Kita memilih lokasi sekitar lima batu nautika bertujuan mengelak kawasan berkenaan diceroboh nelayan pukat tunda," katanya pada sidang media selepas program pelupusan bot nelayan Vietnam, di sini, hari ini.

Katanya, bagi mengelak berlaku pencemaran ekosistem di dasar laut, setiap bot yang akan dilupuskan perlu mendapat kelulusan dari Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).

PROSES pelupusan empat bot nelayan Vietnam yang dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk dijadikan tukun di Perairan Kuala Nerus. FOTO Zaid Salim
PROSES pelupusan empat bot nelayan Vietnam yang dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk dijadikan tukun di Perairan Kuala Nerus. FOTO Zaid Salim

Malah, katanya, kesesuaian lokasi pelupusan juga akan ditentukan ISMAT sama ada lokasi terbabit sesuai atau tidak untuk dijadikan tukun tiruan.

Muhammad Suffi berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 99 bot nelayan Vietnam ditenggelamkan sebagai tukun tiruan di beberapa lokasi antaranya perairan Pulau Susu Dara di Besut dan Pulau Redang.

"Kaedah menenggelamkan bot sebagai tukun tiruan adalah satu inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin serta simbolik kepada keseriusan APMM dalam mengekang pencerobohan nelayan asing di perairan negara" katanya.

Dalam perkembangan lain, pihaknya menegaskan, APMM sentiasa mengetatkan kawalan perairan bagi membanteras kegiatan jenayah laut seperti penyeludupan dan pencerobohan nelayan asing.

Katanya, APMM akan terus melakukan rondaan bagi mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan aktiviti yang melanggar undang-undang di sepanjang perairan negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 7:54 PM