Jeti Pelabuhan Tanjung Beruas sedia ada di Tanjung Kling. FOTO HASSAN OMAR
Jeti Pelabuhan Tanjung Beruas sedia ada di Tanjung Kling. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Melaka: "Kami tidak tolak pembangunan tetapi tolonglah lihat keadaan kami kini," ujar Ketua Jaringan Nelayan Pantai Puteri, Azmi Leman, 53, berhubung nasib kira-kira 160 nelayan Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini.

Menurutnya, mereka tidak menolak pembangunan jeti Pelabuhan Tanjung Beruas (PTB), di sini tetapi merayu nasib mereka diberi perhatian.

"Pada dasarnya mereka tidak menolak usaha memanjangkan jeti pelabuhan sepanjang 650 meter dalam tempoh lima tahun tetapi amat bimbang punca rezeki mereka yang bakal terjejas sepanjang kerja pembinaan itu dijalankan.

"Kami akur dengan pembangunan kerana ia adalah sumber ekonomi bagi syarikat pelabuhan dan penduduk sekitar Tanjung Kling.

"Bagaimanapun, tolonglah kami kerana sudah pasti sumber ikan dan udang berkurangan susulan kerja pembinaan jeti dan menambak laut akan menyebabkan sumber perikanan berkurangan," katanya selepas sesi perbincangan bersama kira-kira 20 wakil nelayan dengan pengurusan PTB di pejabat PTB di sini, tadi.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan serta wakil Lembaga Pelabuhan Melaka (LPM) dan Kumpulan Melaka Berhad (KMB).

Pada sesi itu, pihak pengurusan PTB memberi penjelasan berhubung kerja fasa satu membina jeti sepanjang 50 meter berbanding jeti sedia ada 175 meter yang dimulakan bulan lalu dan bakal disiapkan September depan.

Selain itu, fasa selanjutnya membabitkan kerja memanjangkan 600 meter lagi jeti yang bakal siap sepenuhnya pada 2026.

Azmi berkata, nelayan menyambut baik jika PTB bersedia memberikan pampasan melalui kerajaan negeri tetapi ia harus dipastikan mampu menjamin kelangsungan kehidupan nelayan dan bukannya secara 'one off' kerana ia hanya untuk jangka pendek.

Selain itu, mereka sedia menerima jika kerajaan membina kelong di tengah laut yang berfungsi sebagai tempat pembiakan ikan dan peluang untuk nelayan menyediakan perkhidmatan sewa bot untuk kaki pancing.

Katanya, pembinaan jeti baharu dan kerja menambak 12 hektar kawasan sekitar pelabuhan itu bakal menyebabkan sumber perikanan berhijrah ke kawasan lain atau pupus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 6:18 PM