KONTRAKTOR menjalankan kerja menambak Pantai Rombang yang menjadi sebahagian daripada Pantai Puteri, Tanjung Kling yang mengalami hakisan sejak Julai 2019. FOTO Hassan Omar
KONTRAKTOR menjalankan kerja menambak Pantai Rombang yang menjadi sebahagian daripada Pantai Puteri, Tanjung Kling yang mengalami hakisan sejak Julai 2019. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


SEBANYAK RM2.269 juta disediakan kerajaan negeri bagi menambak Pantai Rombang yang menjadi sebahagian daripada Pantai Puteri, Tanjung Kling di Melaka yang terjejas teruk akibat hakisan.

Peruntukan itu disediakan bagi membolehkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melantik kontraktor menjalankan kerja penambakan pantai yang mengalami hakisan serius sejak Julai tahun lalu.

Pengarah JPS negeri Abdul Hakim Hamzah berkata, kerja berkenaan membabitkan penambakan pantai sepanjang 464 meter dan selebar 35 meter bagi membolehkan pasir pantai yang sudah hilang akibat hakisan, dibina semula.

“Ombak besar dan perubahan angin menyebabkan hakisan di Pantai Rombang menjadi semakin serius sejak Julai tahun lalu dan JPS memohon kerajaan negeri menyediakan peruntukan bagi menjalankan kerja pembaikan.

“Hakisan itu menyebabkan pokok rhu yang ditanam kira-kira 20 tahun lalu tumbang, selain mengancam pangkalan nelayan yang dijadikan tempat menambat perahu, stor enjin dan jaring serta peralatan menangkap ikan yang lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kerja berkenaan dimulakan kontraktor Aromas Teguh Enterprise pada 10 Januari lalu dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 17 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 3:15 PM