TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Biarpun tiada kes positif baharu Covid-19 dilaporkan setakat tengah hari tadi, Perlis mencatatkan peningkatan kes mendadak semalam apabila sebanyak 29 kes dikesan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia adalah jumlah kes positif harian tertinggi dicatatkan di negeri itu sejak penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Beliau berkata, peningkatan kes mendadak itu disebabkan pengesanan aktif daripada Kluster Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Persiaran Wawasan.

"Kluster ini diumumkan pada 7 Mac lalu hasil saringan tahanan pendatang asing tanpa izin (Pati) di DTI terbabit.

"Seramai 263 individu yang membabitkan 102 tahanan Pati dan 161 anggota Jabatan Imigresen (JIM) sudah disaring dengan 89 dikesan positif (33.8 peratus), manakala 173 lagi adalah negatif (65.8 peratus) dan seorang adalah tidak konklusif (0.4 peratus) dan akan disaring semula.

"Daripada jumlah keseluruhan 89 kes positif dalam kluster ini, 85 kes bukan warganegara dan empat kes adalah warganegara," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kesemua kes itu dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM) untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya berpendapat punca jangkitan dalam kluster DTI Persiaran Wawasan berkemungkinan daripada tahanan Pati yang ditahan di DTI atau komuniti.

Katanya, keadaan sel yang sempit dengan jumlah tahanan yang ramai menyebabkan penularan Covid-19 dalam kalangan tahanan berlaku secara mendadak.

Justeru, beliau berkata, langkah pencegahan dan kawalan sudah diambil oleh Jabatan Kesihatan Perlis termasuk membuat siasatan terhadap setiap kes yang dikesan dan seterusnya mengesan kontak rapat kes terbabit.

Katanya, arahan pengawasan dan pemantauan diberikan kepada semua kontak rapat bagi tujuan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Selain itu, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) ditutup selama 10 hari mengikut peruntukan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi tujuan siasatan kluster dan aktiviti basmi kuman.

Dr Noor Hisham berkata, pendidikan kesihatan seperti penjagaan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau pensanitasi tangan turut diberikan serta penekanan kepada penjarakan sosial dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dalam aktiviti yang dilakukan dan JIM akan memantau pematuhan SOP anggota mereka agar penularan kluster ini dapat dikekang dengan segera.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 6:49 PM