DATUK Seri Dr Adham Baba. FOTO Aizuddin Saad.
DATUK Seri Dr Adham Baba. FOTO Aizuddin Saad.
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Semua pihak diminta memahami kekangan dihadapi Kementerian Kesihatan (KKM) ketika mempertimbangkan perjawatan tambahan dan peruntukan kewangan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ia berikutan selain KKM, kerajaan juga perlu menimbangkan permohonan berkaitan sumber manusia dan peruntukan daripada kementerian lain, berdasarkan kepada keupayaan semasa.

Beliau berkata, KKM kini mempunyai sejumlah 252,911 petugas tetap dan lebih 40,000 petugas kontrak membabitkan pelbagai skim perkhidmatan.

Katanya, sebahagian daripada petugas kontrak ini dilantik bagi memenuhi syarat latihan siswazah dan khidmat wajib, manakala sebahagian lagi bagi perkhidmatan dan membendung penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini.

Justeru, Dr Adham berkata, KKM memerlukan sejumlah RM17 bilion atau 63 peratus daripada peruntukan perbelanjaan mengurus bagi pembayaran gaji, tidak termasuk elaun seperti bayaran lebih masa dan tugasan rasmi lain.

"Secara perbandingan, jumlah tanggungan gaji KKM lebih tinggi berbanding negara lain dari segi 'gaji dari perbelanjaan kesihatan kerajaan (salary /wages of government health expenditure).

"Sebagai contoh, daripada 18 negara di Eropah, yang diteliti, purata jumlah tanggungan gaji di negara terbabit adalah sekitar 42.3 peratus daripada bajet kesihatan yang diluluskan manakala daripada 64 negara di dunia purata tanggungan gaji adalah sekitar 42.2 peratus," katanya ketika merasmikan Forum Virtual MMA SCHOMOS 2021, hari ini.

Dr Adham berkata, berikutan pelaksanaan dasar kawalan saiz dalam perkhidmatan awam di negara ini sejak 2015, perjawatan tetap tidak lagi dipertimbangkan kecuali secara tukar ganti (trade off) dengan kementerian lain.

Selain itu, beliau berkata, KKM juga mempunyai fasiliti di banyak lokasi di seluruh negara, iaitu 146 hospital dan institusi serta lebih daripada 3,300 jenis klinik di peringkat komuniti, dengan sebahagiannya sudah berusia dan memerlukan penambahbaikan.

Sehubungan itu, Dr Adham berkata, KKM berdepan pengurusan yang kompleks dan memerlukan perhatian untuk penyelenggaraan dan peruntukan kewangan.

"Kefahaman ini penting bagi memastikan sumber yang terhad dalam organisasi dapat dioptimumkan secara bersama dengan langkah penjimatan, pelaksanaan program secara lebih fokus manakala di peringkat petugas kesihatan pula kita dapat bekerjasama dengan inklusif, berteraskan konsep 'seluruh kerajaan, seluruh masyarakat' (whole of government whole of society)," katanya.

Pada masa sama, Dr Adham berkata, KKM sudah melaksanakan langkah penyelesaian terhadap beberapa isu membabitkan doktor termasuk mendapatkan kelulusan kerajaan bagi pelarasan Gred Jawatan Gred UD43 kepada Pegawai Perubatan Kontrak dan perluasan faedah yang sama kepada Pegawai Pergigian Kontrak.

Beliau berkata, pelarasan itu sudah mula ditawarkan pada 25 Februari lalu dan diteruskan berdasarkan jadual pelaksanaan yang boleh dirujuk dalam sistem e-placement.

Katanya, Kementerian Kewangan juga sudah bersetuju melanjutkan tempoh kontrak kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi yang akan tamat kontrak pertengahan tahun ini, yang akan dilaksanakan oleh KKM nanti.

"Isu berkaitan perjawatan tetap, KKM dari semasa ke semasa mengemukakan permohonan kepada agensi pusat untuk pertimbangan tambahan jawatan, mengambil kira keperluan perkhidmatan di fasiliti baharu, naik taraf dan fasiliti sedia ada.

"Selain itu KKM bercadang untuk memohon pelantikan secara kontrak untuk tempoh yang lebih lama.

"Perkara ini sudah di peringkat akhir penelitian sebelum KKM membawa cadangan ini untuk dipertimbangkan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 4:48 PM