Reaksi spontan petugas Pusat Kesihatan Lembah Pantai ketika sesi ujian saringan pada 9 Oktober lalu. FOTO Shahmi Imran
Reaksi spontan petugas Pusat Kesihatan Lembah Pantai ketika sesi ujian saringan pada 9 Oktober lalu. FOTO Shahmi Imran
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memohon pertambahan 1,899 kakitangan kontrak bagi menampung keperluan perkhidmatan kesihatan susulan pandemik Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, KKM sudah mengemukakan permohonan itu kepada Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk penelitian, 9 Oktober lalu.

Menurutnya, antara jawatan yang dipohon adalah pegawai penyelidik, jururawat, penolong pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran, juruteknologi makmal perubatan dan pembantu tadbir (Perkeranian/ Operasi dan Kewangan).

"Permohonan dikemukakan selaras dengan persetujuan kerajaan agar KKM dipertimbangkan untuk menambah petugas kesihatan seramai 2,000 lantikan secara kontrak seperti yang diluluskan kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin.

"Kakitangan kontrak akan ditempatkan di fasiliti kesihatan seperti di hospital, klinik kesihatan, makmal, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC).

"Mereka juga akan ditempatkan di stesen kuarantin di seluruh negara dan ditugaskan di Pintu Masuk Antarabangsa Negara seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur agar urusan keluar dan masuk di Pintu Masuk Antarabangsa dapat diuruskan dengan lebih lancar dan berkesan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan sudah mengambil langkah segera bagi mengawal penularan wabak ini, antaranya mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri dan lokaliti yang berkenaan.

Katanya, KKM juga mengambil langkah proaktif dengan mobilisasi petugas kesihatan sedia ada dari negeri dan fasiliti kesihatan tertentu bagi membantu negeri atau fasiliti kesihatan yang memerlukan tambahan sumber manusia kesihatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19



  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 2:05 PM