Muhyiddin melakukan tinjauan persiapan yang dilaksanakan TUDM di Pangkalan Udara Subang bagi penghantaran keperluan barang-barang kritikal ke Sabah. FOTO ihsan TUDM
Muhyiddin melakukan tinjauan persiapan yang dilaksanakan TUDM di Pangkalan Udara Subang bagi penghantaran keperluan barang-barang kritikal ke Sabah. FOTO ihsan TUDM
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kerajaan memperuntukkan RM164,680,133 untuk mempertingkat usaha membendung penularan jangkitan Covid-19 di Sabah pada September lalu hingga Oktober ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM103,845,131 adalah daripada peruntukan mengurus dan digunakan untuk menyediakan keperluan seperti kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan Consumables; Reagen serta aset mudah alih termasuk penyumberluaran makanan dan ubat-ubatan.

"Baki jumlah itu sebanyak RM60,835,002 adalah daripada peruntukan pembangunan dan digunakan oleh Jabatan Kesihatan Sabah untuk menambahbaik fasiliti kesihatan seperti makmal dan bilik Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital dan perolehan kenderaan serta peralatan perubatan.

"Awal hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninjau sendiri persiapan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara TUDM Subang untuk menerbangkan segera sebahagian peralatan berkenaan ke Sabah.

"Penerbangan pesawat TUDM pagi tadi turut membawa peralatan disumbangkan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, komitmen tinggi kerajaan dalam membantu menangani wabak Covid-19 di Sabah dengan menyalurkan segera peruntukan itu sangat penting demi melindungi keselamatan rakyat.

"Kita berharap tindakan pantas kerajaan menangani Covid-19 di Sabah mendapat kerjasama dan sokongan semua pihak.

"Kerjasama semua pihak amat dialu-alukan selaras dengan pendekatan 'whole of government approach dan whole of society approach'.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yakin pendekatan ini akan dapat memainkan peranan berkesan bagi terus menyekat penularan wabak itu secara bersepadu," katanya.

Katanya, KKM sentiasa menasihatkan semua pihak untuk mengamalkan norma baharu dan terus mematuhi garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan bagi memastikan rakyat sentiasa selamat dan terpelihara daripada penularan wabak Covid-19.

"Kerajaan dan seluruh warga KKM akan terus berusaha dengan penuh dedikasi dan komitmen tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab untuk membendung wabak Covid-19 sehingga Sabah kembali menjadi Zon Hijau," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 10:50 PM