FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Polis menahan 11 individu termasuk lima wanita yang dipercayai menyertai pesta dadah di sebuah kondominium yang dijadikan inap desa di Kompleks BM City, di sini, tengah malam tadi.

Dalam operasi 12.01 tengah malam itu, polis mengadakan pemerhatian selama 10 minit sebelum menyerbu unit kondominium berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, ketika serbuan, terdapat enam lelaki dan lima wanita berusia antara 18 hingga 25 tahun berkumpul di ruang tamu.

"Pemeriksaan lanjut menjumpai sejumlah dadah antaranya 14 biji pil ekstasi, syabu seberat 4.7 gram (dan 4.7 g ketamin di atas meja.

"Kesemua dadah itu kemudian dirampas dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Shafee berkata, ujian saringan air kencing mendapati semua suspek lelaki positif dadah, manakala suspek wanita negatif.

"Kompaun turut dikeluarkan ke atas semua suspek yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Peraturan 17, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 9:50 AM