Polis merampas syabu seberat 5.2 kilogram (kg) yang disorok dalam beg sekolah kanak-kanak ketika mengadakan serbuan di sebuah rumah di Kepala Batas. FOTO  Ihsan PDRM
Polis merampas syabu seberat 5.2 kilogram (kg) yang disorok dalam beg sekolah kanak-kanak ketika mengadakan serbuan di sebuah rumah di Kepala Batas. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Polis merampas dadah jenis syabu seberat 5.2 kilogram (kg) bernilai RM204,400 yang disorok dalam beg sekolah kanak-kanak dalam serbuan di sebuah rumah, dekat sini, kelmarin.

Rampasan dibuat selepas polis menahan empat individu termasuk dua wanita dipercayai sindiket pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, keempat-empat suspek berusia 42 hingga 59 tahun ditahan dalam serbuan di rumah itu pada 5.30 petang.

"Pemeriksaan lanjut dalam rumah itu menemui satu beg sekolah kanak-kanak mengandungi dadah jenis syabu seberat 5,244 gram (g) bernilai RM204,400 dipercayai menjadi taktik suspek bagi mengelak perbuatan mereka dihidu pihak berkuasa.

"Polis merampas kesemua dadah berkenaan dan menyita dua kereta Perodua Myvi dan Perodua Kenari serta wang tunai RM1,050 untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, dadah yang dirampas itu boleh digunakan antara 4,000 hingga 5,000 penagih dadah yang ia dipercayai untuk pasaran sekitar Kepala Batas.

"Semakan mendapati hanya seorang daripada empat suspek memiliki rekod jenayah dan ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 3:16 PM