AHMAD Ashraf menunjukkan etak yang dikutipnya.
AHMAD Ashraf menunjukkan etak yang dikutipnya.
Nazirul Roselan


Bera: Keadaan air Sungai Pahang yang cetek akibat fenomena El Nino menjadikan beberapa kawasan sekitar dikunjungi ratusan penduduk setempat untuk bersantai dan berkelah.

Malah ada antara mereka memanfaatkan paras sungai cetek untuk mencari hidupan eksotik iaitu etak yang dijadikan hidangan makan malam sekeluarga.

Tinjauan di Kampung Durian Tawar, semalam, mendapati penduduk yang tinggal di bandar ini dan Temerloh turun ke sungai mencari hidupan sungai itu sekali gus menjadikan persekitaran Sungai Pahang umpama pesta keluarga.

Kebanyakan penduduk berkunjung bersama keluarga untuk menangkap etak menggunakan peralatan seperti jaring dan sangkar buatan sendiri yang menggunakan penutup kipas.

Penduduk, Kamarudin Omar, 62, berkata, musim kemarau tahun ini memang menjadi tumpuan orang ramai untuk menangkap etak terutama pada sebelah petang bermula jam 5 petang.

“Ini memang musim etak membiak dan mudah ditangkap lebih-lebih lagi apabila sungai menjadi cetek.

“Waktu sebelah petang ini kurang panas berbanding tengah hari, jadi selesa untuk berada lebih lama dan hasil pun banyak,” katanya.

Kamarudin berkata, hasil tangkapan mampu mencecah hingga satu kilogram jika ada yang rajin serta sanggup berkubang lebih lama dalam lumpur sungai.

“Etak ditangkap ini bukan untuk dijual tetapi lebih dijadikan sebagai santapan seisi keluarga untuk makan malam,” katanya.

Bagi Ahmad Ashraf Bahari, 10, peluang mencari etak sangat menyeronokkan dan dia amat teruja.

“Pada mulanya saya tidak mengetahui apa itu etak, selepas diajak oleh keluarga, baru saya tahu rupa etak dan bagaimana cara untuk mencarinya.

“Ibu saya selalu masak etak berlada, rasanya sangat sedap dan manis”, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 7:56 AM