Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seorang pengarah syarikat balak didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi memohon Program Subsidi Upah (PSU) berjumlah RM9, 600 bagi empat pekerjanya yang tidak layak, tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membuat keputusan itu selepas tertuduh, Eyo Ah Lai, 64, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.

Ahmad Kamal turut memerintahkan wang tunai berjumlah RM9,600 dalam kes itu dilucut hak kepada kerajaan Malaysia, manakala sejumlah RM7,780.50 pula perlu dibayar kepada pekerja yang berhak.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda.

Eyo dituduh dengan curangnya menggunakan dokumen senarai lampiran pekerja palsu bagi membuat permohonan PSU berjumlah RM4,800 setiap satu, dengan empat nama pekerja disenaraikan tidak layak menuntut skim berkenaan.

Ia dilakukan di premis syarikatnya di Ayer Hitam, Batu Pahat, masing-masing pada 12 dan 23 April 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Mahirah Mohd Pauzi manakala, tertuduh diwakili peguam T Vijaya Sandaran.

Terdahulu, Nur Mahirah memohon mahkamah memberi hukuman setimpal atas kesalahan tertuduh sebagai kesedaran kepadanya serta masyarakat.

EYO (kiri) mengaku bersalah atas dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi memohon Program Subsidi Upah (PSU) bagi empat pekerjanya yang tidak layak di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED
EYO (kiri) mengaku bersalah atas dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi memohon Program Subsidi Upah (PSU) bagi empat pekerjanya yang tidak layak di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED

Namun, peguam tertuduh memohon dikenakan hukuman denda dikenakan terhadap anak guamnya mengambil kira dia menghidap penyakit jantung.

"Tertuduh sudah uzur dan perlu mendapatkan rawatan penyakitnya secara berkala di hospital. Oleh itu, saya mohon tertuduh hanya dikenakan hukuman denda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 5:16 PM