Reymi (tengah) mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menghina Sultan Johor dan Kerabat DiRaja Johor, dua tahun lalu. FOTO OMAR AHMAD
Reymi (tengah) mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menghina Sultan Johor dan Kerabat DiRaja Johor, dua tahun lalu. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


Johor Bahru: Penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, atas dua pertuduhan menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan keluarga diraja Johor, dua tahun lalu.

Tertuduh, Reymi Abdul Rahim, 43, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim VM Mabel Sheela.

Mengikut pertuduhan, Reymi secara sedar menerusi akaun Twitternya membuat komunikasi jelik terhadap Sultan Johor dan keluarga diraja Johor dengan niat menyakiti orang lain.

Kedua-dua hantaran itu dibacakan pengadu pada 8 Oktober 2021, jam 12 tengah hari di sebuah pejabat di Kota Southkey, Johor Bahru.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan denda RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu selepas pensabitan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Thiviya.

Tertuduh diwakili peguam, Jihad Syahida Nadia Zakaria dan Nurhazneena Zureen Mohamad Hanafiah.

Pihak pendakwaan mencadangkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam memohon agar jaminan dikurangkan kerana tertuduh tidak bekerja dan masih menjalani rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) kerana mempunyai 'schizophrenia with depression'.

Mahkamah menetapkan tertuduh diikat jamin RM4,500 untuk dua pertuduhan dengan seorang warga tempatan, menyerahkan pasport antarabangsa dan melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Kes disebut semula pada 21 Ogos ini untuk serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 12:38 PM