ANGGOTA bomba memadam kebakaran kandang. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memadam kebakaran kandang. FOTO ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Sebanyak 30 kambing dan 50 ayam yang diternak di ladang di Jalan Kampung Permatang Durian, Padang Serai di sini, rentung akibat kebakaran kandang, hari ini.

Dalam kejadian 5.45 pagi itu, pasangan warga emas dipercayai pemilik ladang turut cedera selepas cuba menyelamatkan haiwan ternakan mereka.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.52 pagi sebelum sepasukan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech dikejarkan ke lokasi.

"Operasi disertai lapan anggota dan dua jentera dari Kulim Hi Tech dan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan polis.

"Setibanya di lokasi, kita mendapati berlaku kebakaran kandang kambing dan ayam yang sudah musnah 90 peratus," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, lelaki berusia 70 tahun melecur di tangan dan wanita berusia 63 tahun melecur di bahu dan semua ternakan di dalam kandang rentung, katanya.

"Kebakaran dapat dikawal pada 6.17 pagi dan setakat ini punca serta kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 10:33 AM