KEADAAN kandang kambing yang terbakar. FOTO Ihsan Pembaca.
KEADAAN kandang kambing yang terbakar. FOTO Ihsan Pembaca.
Roselan Ab Malek


Temerloh: Penternak mengalami kerugian apabila belasan kambing yang diternak rentung selepas kandang haiwan ternakan di Taman Temerloh Jaya Indah dekat sini, terbakar, hari ini.

Pengusaha ternakan, K Saravanan, 38, berkata, kejadian pada 5 pagi itu disedari ibunya yang tidur ditingkat bawah kediaman mereka.

"Saya berlari ke arah kandang kambing yang diperbuat dari kayu itu dan berjaya membuka satu daripada pintu kandang untuk membebaskan kambing yang terperangkap.

"Ketika itu hari masih gelap dan saya tidak pasti berapa banyak kambing dapat diselamatkan, tetapi ada beberapa anak kambing terperangkap dalam satu daripada kandang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Saravanan berkata, dia menternak 25 ekor kambing di kandangnya, sejak mula menceburkan diri dalam bidang ternakan sebagai hobi 10 tahun lalu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, enam anggota bomba yang diketuai oleh pegawai kanan Alif Hafizul Muhammad dari Balai Bomba Bukit Angin dikerahkan ke lokasi kejadian pada 5.05 pagi.

"Api dapat dikawal sepenuhnya pada 6.45 pagi. Kira-kira 90 peratus kandang kambing kayu itu musnah dan terdapat berbelas ekor kambing rentung manakala lima lagi dapat diselamatkan," katanya.

Beliau berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 8:34 PM