BOMBA memadam kebakaran membabitkan sebuah kandang ternakan ayam dan kambing yang musnah di Jalan Kampung Padang Durian, Padang Serai. FOTO IHSAN BOMBA
BOMBA memadam kebakaran membabitkan sebuah kandang ternakan ayam dan kambing yang musnah di Jalan Kampung Padang Durian, Padang Serai. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Pasangan suami isteri warga emas cedera melecur ketika cuba menyelamatkan haiwan ternakan yang terperangkap di dalam kandang yang sedang terbakar.

Dalam kejadian jam 5.45 pagi tadi, sebanyak 30 kambing dan 50 ayam diternak pasangan itu di ladang Jalan Kampung Permatang Durian, Padang Serai di sini, rentung terbakar.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasahn berhubung kebakaran itu pada jam 5.52 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech dikejarkan ke lokasi bagi melakukan operasi memadam kebakaran.

"Setibanya di lokasi, kami mendapati berlaku kebakaran kandang kambing dan ayam yang musnah 90 peratus," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, terdapat pasangan warga emas dipercayai pemilik kandang berkenaan iaitu seorang lelaki berusia 70 tahun yang melecur di tangan dan wanita berusia 63 tahun melecur di bahu.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan semua ternakan di dalam kandang rentung terbakar.

"Kebakaran dapat dikawal jam 6.17 pagi dan setakat ini punca serta kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 3:06 PM