KANDANG kambing yang terbakar di Jalan Permatang Kerai Besar, Kepala Batas menyebabkan 25 kambing rentung. FOTO ihsan PDRM
KANDANG kambing yang terbakar di Jalan Permatang Kerai Besar, Kepala Batas menyebabkan 25 kambing rentung. FOTO ihsan PDRM
Zuhainy Zulkiffli


Kepala Batas: Penternak reda apabila 25 kambing ternakannya rentung dalam kebakaran kandang di Jalan Permatang Kerai Besar, di sini, malam tadi.

Kebakaran disedarinya pada 10 malam itu membabitkan semua kambing yang akan dijual bagi tujuan ibadah korban dan aqiqah.

Talib Mat Sa'ad, 65, berkata, dia sudah mengusahakan pekerjaan penternakan itu sejak tujuh tahun lalu dan ketika kejadian, dia melihat api sudah menjulang tinggi dan marak dengan cepat.

"Kandang itu terletak kira-kira 100 meter dari rumah saya, namun saya tidak menyedari ketika kebakaran tercetus.

"Disebabkan itu, saya gagal menyelamatkan semua 25 kambing berkenaan termasuk dua kambing jantan yang baru dibeli," katanya di sini, hari ini.

Taib berkata, sudah menjadi kebiasaannya membakar najis kambing di bahagian bawah kandang terbabit.

"Kalau najis kambing banyak, biasanya saya akan bakar dan ketika tinggalkan kandang, saya dapati ia hanya tinggal bara.

"Tidak sangka tiba-tiba semuanya hangus dijilat api dan nilai kerugian dianggarkan RM40,000," katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.18 malam dan kerja memadamkan kebakaran membabitkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas.

Menurutnya, ketika bomba tiba di lokasi, didapati kandang berkenaan terbakar sebanyak 90 peratus dan strukturnya yang diperbuat daripada kayu menyebabkan api marak dengan cepat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian.

Katanya, mangsa tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat, namun dipercayai ia berpunca daripada tindakannya melakukan pembakaran najis kambing.

"Pembakaran dilakukan di bawah kandang itu menyebabkan bara menyambar kandang kambing dengan cepat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 2:44 PM